Tuesday 7 March 2017

PENGENALAN

Khurafat, Tahyul dan Kebudayaan Karut

Takrif Menurut Kitab Al-Mu’jam al-Wasit, khurafat adalah “cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta”. Manakala mengikut Kamus al-Marbawi bahawa khurafat ialah; “sebarang cerita yang benar-benar dusta”. Pendapat lain menyebut bahawa; khurafat adalah sesuatu hal yang tidak masuk akal atau perkara-perkara yang sukar untuk dipercayai kebenarannya. Berdasarkan takrif tersebut dapat dibuat kesimpulan bahawa khurafat ialah sesuatu perkara mempersonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut atau tahyul yang menyimpang dari ajaran Islam. Manakala istilah tahyul pula adalah bermaksud; semua cerita, sama ada khayalan atau rekaan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalanramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Ia meliputi cerita-cerita yang mempersonakan dan bercampuraduk dengan perkaraperkara yang dusta. Manakala kebudayaan karut ditakrifkan sebagai keseluruhan tatacara hidup serta hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian dalam sesuatu masyarakat, tamadun dan peradaban yang direka serta ianya bercanggah dengan ajaran Islam. Ketiga-tiga istilah di atas adalah mempunyai maksud dan kaitan yang rapat di antara satu sama lain.

Ciri-ciri Khurafat dan Tahyul

(a) Cerita-cerita yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith.
(b) Cerita-cerita yang berunsur metos dan lagenda, rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut
(c) Cerita-cerita yang bersumberkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam.
(d) Cerita-cerita yang berbentuk pemujaan dan permohonan kepada ‘makhluk halus’ bagi tujuan memudharatkan orang lain dan menyeleweng dari akidah Islam.
(e) Menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya bagi tujuan tertentu.
(f) Cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur negatif dari segi akidah dan syariat Islam.

Bentuk-Bentuk Khurafat dan Tahyul 

Di antara bentuk-bentuk khurafat dan tahyul ialah;
(a) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu dan seumpamanya.
(b) Kepercayaan kepada nasib sial majal, seperti adat membuang sial.
(c) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan daripadanya, umpamanya adat ‘memuja kampung’.
(d) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi.
(e) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti menangguhkan perjalanan jika terdapat biawak melintas kerana dianggap sebagai isyarat benda tidak baik akan berlaku.
(f) Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu.
(g) Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang dan kubur.

Hukum Beramal Dengan Perkara Khurafat dan Tahyul

Dalam Islam, percaya kepada benda-benda khurafat dan tahyul, seumpama benda-benda keramat seperti pokok, kubur, telaga dan sebagainya serta percaya ianya mempunyai kuasa selain daripada Allah SWT adalah syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid kepada Allah SWT.

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan”. Para sahabat bertanya, “Apakah tujuh perkara itu?’ Baginda menjawab: “Menyengutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk”. (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hudud, Bab 44, hal.33)

(GARIS PANDUAN BAHAN PENERBITAN BERCETAK DAN AUDIO VISUAL BERHUBUNG DENGAN UNSUR-UNSUR YANG BERCANGGAH DENGAN AKIDAH DAN AMALAM AHLI SUNNAH WAL JAMAAH) UNIT KAJIAN MEDIA, SEKSYEN AKIDAH BAHAGIAN PERANCANGAN DAN PENYELIDIKAN JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA BLOK D7 & D9 KOMPLEKS D, PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN 62519 PUTRAJAYA

No comments:

Post a Comment