Tuesday 7 March 2017

PENGERTIAN KHURAFAT

Pengertian Khurafat dari Aspek Bahasa 

  1. Maksud doktrin ialah prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar dan satu-satunya dapat diterima (Hajah Noresah bt Baharom, 2002). 
  2. Maksud ‘Khurafat’ pula ialah ajaran yang bukan-bukan, atau karut, dongeng dan tahyul (Hajah Noresah bt Baharom,2002). ‘alkhurafat’ juga bermaksud cerita bohong, dongeng dan tahyul atau sesuatu yang tidak masuk akal. Semua kepercayaan, keyakinan atau kegiatan yang tidak memiliki dasar atau bersumber daripada ajaran agama tetapi diyakini bahawa hal tersebut berasal dan memiliki dasar daripada agama (Ensiklopedia Islam, 2004). 
  3. Merujuk kepada etimologi, adalah ternyata khurafat berasal dari bahasa arab kharafayakhrifu-kharfan-khurafatan. Padanan bahasa Inggerisnya merujuk kepada supersition atau supertitio dalam bahasa Latinnya yang membawa maksud sesuatu yang dipetik, atau cerita bohong dongeng dan tahayul atau sesuatu hal yang tidak masuk akal atau sesuatu yang dusta tetapi menarik (Ensiklopedia Hukum Islam, 1997) atau sesuatu cerita yang dusta tetapi menarik (Ibnu Manzur, 1907). 
  4. Menurut aspek terminologinya bererti lemah akal kerana ketuaan atau orang yang rosak akalnya sebab nyanyuk kerana terlalu tua (Ibnu Manzur, 1907). 
  5. Manakala, dalam buku kecil Penjelasan Istilah Yang Boleh Membawa Penyelewengan Akidah, JAKIM 2006, mendefinasikan khurafat ialah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan pekara dusta, khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang amat bertentangan dengan ajaran Islam. Semua pekara yang berkaitan perlu dijauhi oleh semua orang Islam, kerana ia merupakan dosa. Tegasnya, kurafat adalah amalan atau fahaman atau tingkahlaku atau perbuatan yang bercanggah dengan akidah dan syariah Islam. Oleh itu kurafat boleh diketagorikan sebagai ajaran sesat (JAKIM, 2006).  
  6. Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (2002) Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta

Pengertian Khurafat Dari Sudut Istilah

  1. Menurut Husin ‘Abdul Wahid, khurafat adalah perkara yang saling bersilih ganti dengan dongeng yang asasnya tidak wujud. Khurafat adalah merupakan dongeng yang berubah-ubah yang dikhayalkan dan digambarkan oleh masyarakat sebagai makhluk halus yang boleh berubah kepada menyerupai sesuatu. Sesuatu gambaran yang dikhayalkan berdasar realiti semasa atau identiti masyarakat setempat 
  2. Hai Bin Yaqdzan berpandangan khurafat berlaku atas sebab manusia yang sifatnya inginkan motivasi dan perlukan kekuatan dalam menjalani kehidupan. Kompenan yang penting kewujudan khurafat ini adalah dari generasi berpindah ke generasi seterusnya dengan versi yang sama tetapi ditokok tambah dan penyelewengan yang semakin berkembang (Hussin ‘Abdul Wahid, 1980). 
  3. Manakala Dr Ali Mahfuz, seorang ahli teologi Islam, mendefinisikan khurafat adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal yang sihat. Orang yang membawa hal-hal yang bersifat khurafat biasanya suka memutarbalikkan fakta, memberikan hal-hal yang bersifat dusta dan menonjolkan hal-hal yang batil (Hussin Abdul Wahid, 1980). 
  4. Dari sudut kategori bid’ah pula, keberadaan khurafat adalah sebahagian dari bid’ah yang diertikan sebagai penambahan kepada apa yang dibenarkan syarak. Penambahan dalam halhal ibadah disebut bid’ah, manakala dalam kepercayaan (akidah) dinamakan bidah akidah atau khurafat (H.Djarnawi Hadi Kusuma, t.t.). 
  5. Al-Sheikh ‘Ali Mahfuz menjelaskan bid’ah akidah (khurafat) sebagai kepercayaan kepada sesuatu perkara yang menyalahi ajaran Rasulullah s.a.w. (Ali Mahfuz, t.t) Justeru, setiap individu perlu memahami secara jelas dan tidak memandang remeh perkara bid’ah agar tidak terjerumus ke dalam khurafat.
Pengertian Khurafat dari Aspek Pandangan Ulama 

Berpandukan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan malaysia Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Augus 1996 telah membincangkan Khurafat Dan Azimat Menurut Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa bersetuju dengan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai (E-Fatwa,1996):

  • Khurafat ialah semua cerita atau rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta.
  • Azimat ialah satu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau untuk memudharatkan orang lain dengan menggunakan objek-objek dan ayat-ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi atau dipuja.
  • Islam sangat menitikberatkan soal akidah dan syariat. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak oleh Islam.
  • Amalan memuja dan memohon pertolongan darinya seperti yang selalu dilakukan oleh setengah bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan orang-orang yang bersahabat dan menggunakan jin dan tukang sihir dan tukang tenung adalah tergolong di dalam golongan orang-orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri.
  • Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam. 

ROGAYAH BINTI CHEK Jabatan al-Quran dan al-Hadith Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. DOKTRIN KHURAFAT : PEMAHAMAN MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AL-HADITH INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)

No comments:

Post a Comment