Tuesday 7 March 2017

BENTUK PENERBITAN DAN GARIS PANDUAN FILEM

BENTUK PENERBITAN

Bentuk Penerbitan Berkaitan Dengan Khurafat dan Tahyul Yang Dilarang 
(a) Semua penerbitan yang memaparkan bentuk-bentuk pemujaan dan permohonan kepada ‘makhluk halus’, bagi tujuan-tujuan tertentu. Contohnya: Penerbitan yang mempromosi amalan-amalan pemujaan ‘semangat’ keris-keris lama

(b) Semua penerbitan yang mempromosikan ‘sifat luar biasa’ sesuatu objekobjek tertentu.

Contohnya:

  • Mengenai kepercayaan kepada objek-objek seperti cincin batu akek, keris lama, tombak yang dianggap boleh memberi apa-apa manfaat ataupun pertolongan.
  • Mengenai kepercayaan kepada sial-majal seperti adat mandi limau, mandi safar dan adat mandi membuang sial.

(c) Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut. Contohnya: Mengenai kepercayaan kepada cerita-cerita kononnya dengan ‘memaku’ tengkok Pontianak boleh menyebabkan Pontianak tersebut menjelma semula menjadi manusia.

(d) Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita bersumberkan daripada kepercayaan lama, kepercayaan kepada petanda, pantang larang dan adat istiadat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Contohnya:

  • Mengenai kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh melihat bayi di cermin muka kerana kononnya kelak ia akan mati di dalam air.
  • Mengenai kepercayaan bahawa tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala
  • Mengenai kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki, seperti adat memuja semangat padi dan membuang ancak. 

GARIS PANDUAN


A. Untuk filem yang menyentuh agama Islam, perkara di bawah ini perlu diberi perhatian dan diteliti secara mendalam, supaya tidak menimbulkan kontroversi dan keraguan di kalangan masyarakat:
  • mempersoal, mempersenda dan memperkecil kesucian Islam;
  • bercanggah dengan akidah, hukum dan ajaran Islam;
  • bercanggah dengan pegangan mazhab-mazhab yang muktabar;
  • bertentangan dengan pendapat kebanyakan ulama;  
  • unsur khurafat;
  • menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam;
  • menyalahi fakta sejarah, umpamanya Sirah Rasul;
  • penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk tulisan selain bahasa Arab;
  • mempersoalkan kewibawaan sumber-sumber hukum agama yang telah diterima umum, iaitu al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias;
  • mempertikaikan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Fatwa Negeri;
  • unsur-unsur mempersendakan kewibawaan pandangan mana-mana Mazhab yang empat, iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  • merendah-rendah dan mempersendakan kewibawaan serta maruah ulama Muktabar khususnya para Mufti;
  • menggunakan isu-isu Islam dan memaparkan adegan-adegan yang boleh membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini;
  • dialog atau adegan yang memenangkan atau membanggakan keuntungan atau faedah baik tanpa balasan buruk kepada pelaku yang keluar daripada agama Islam;
  • orang Islam memegang peranan sebagai sami, paderi, biarawati dan lain-lain serta melakukan ibadat di kuil, gereja dan sebagainya;
  • orang Islam meminum arak, berjudi, melakukan maksiat, kecuali bertujuan mengisahkan penghijrahan daripada kejahatan kepada kebaikan; dan perlakuan yang membanggakan membunuh diri dan adegan ini dipanjangkan masanya. 

B. Filem yang mengandungi adegan dan dialog yang berunsur syirik dan menyentuh akidah hendaklah diteliti secara mendalam supaya tidak menimbulkan kontroversi dan keraguan dalam kalangan masyarakat. Paparannya dibenarkan sekiranya mempunyai tujuan memperbetulkan akidah dan mengelakkan terjerumus kepada syirik. Watak atau pelaku dalam adegan dan dialog yang melanggar akidah agama itu wajib berkesudahan dengan kesedaran dan bertaubat atau dengan balasan buruk terhadap dirinya. Antaranya termasuklah:
  • guru atau murid satu-satu ajaran, amalan atau tarikat membuat pengakuan menerima wahyu;
  • guru membuat pengakuan memegang kunci pintu syurga;
  • mengamalkan zikir dengan suara yang kuat, berzikir dalam kelambu, tempat gelap yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita;
  • mengaku gurunya sebagai bertaraf Nabi atau malaikat;
  • mempercayai penjelmaan semula roh orang yang telah mati ke dalam jasad orang yang masih hidup;
  • memberitahu orang lain bahawa dia seorang wali;
  • mempercayai zikir seorang guru boleh menghindarkan hari kiamat;
  • gurunya boleh memberi syafaat di akhirat;
  • pengikut tarekat yang dianjurkan oleh sesuatu golongan dijamin masuk syurga;
  • mempercayai guru boleh menebus dosa dengan wang;
  • mempercayai bahawa semua agama adalah sama;
  • mempercayai bahawa ada Nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW;
  • mempercayai istighashah (seruan terhadap orang mati) boleh memberi pertolongan dan berkat kepada mereka;
  • memohon pertolongan guru atau orang lain atau benda-benda tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya sebagai wasilah untuk sampai kepada Tuhan;
  • menyampaikan atau mengajarkan sesuatu ilmu secara rahsia;
  • mendakwa bahawa sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh dipelajari oleh orang lain;
  • bersumpah bahawa sesuatu ajaran itu tidak akan diberitahu kepada orang lain;
  • menggambarkan wajah guru semasa beramal ibadat;
  • penyerahan rohani atau jasmani kepada guru, sama ada melalui cara nikah batin atau zahir;
  • mengakui dirinya atau gurunya sebagai Nabi atau Rasul;
  • mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahadi;
  • mengakui dirinya atau pengikutnya sahaja yang layak memperoleh maunah, iaitu pertolongan langsung daripada Allah SWT sedangkan orang lain tidak sama sekali layak untuk menerimanya;
  • mengaku Allah SWT menjelma di dalam dirinya;
  • mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya;
  • mempercayai wahyu masih lagi turun selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW;
  • mendakwa ajaran atau tarekat yang diamalkan diambil terus daripada Rasulullah secara sedar
  • mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan lahir semula menjadi manusia istimewa seperti Imam Mahadi dan sebagainya;
  • mengaku dan mempercayai seseorang itu boleh berhubung dengan Allah SWT melalui Nur Muhammad yang berada dalam dirinya dan dengan demikian mendakwa pasti masuk syurga;
  • mempercayai dan mengaku adanya kemasukan =roh orang yang telah mati ke dalam diri seseorang lain sebagaimana yang diamalkan dalam amalan menurun oleh bomoh ataupun tukang sihir;
  • disyaratkan minum air yang disediakan oleh guru sebagai salah satu upacara bagi menyertai sesuatu ajaran;
  • memansuhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru; meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk;
  • mendakwa bahawa ibadat Haji tidak semestinya ditunaikan di Makkah tetapi boleh ditunaikan di tempat-tempat lain;
  • menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran bagi tujuan menarik perhatian orang ramai;
  • mempercayai bahawa bacaan-bacaan seseorang guru terhadap sesuatu benda seperti batu, gunung, bukit dan kayu boleh memberikan kesan baik atau buruk kepada mereka; dan
  • mengkafirkan orang Islam lain dengan sewenangwenangnya.
RUJUKAN :

GARIS PANDUAN PENAPISAN FILEM (Diterbitkan oleh / Published by Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri Aras 2, Blok D2, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 W.P. Putrajaya.)

No comments:

Post a Comment